Guan Eng akui jentera PH lemah di Melaka

0
2

KELEMAHAN jentera kempen Pakatan Harapan (PH), antara punca gabungan itu gagal memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ia diakui Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang berkata, kelemahan jentera kempen gabungan itu harus diperbaiki.

Beliau berkata, peratusan keluar mengundi yang rendah turut menjadi faktor kekalahan PH semalam.

“Dari segi jentera, kita lemah dan itu adalah sesuatu yang harus kita perbaiki.

“Faktor yang penting ialah peratusan keluar undi kali ini sudah turun sebanyak 20 peratus daripada 85 peratus kepada 65 peratus.

“Perkara ini pun mempengaruhi keputusan kerana sekiranya peratusan undi dapat ditingkatkan 15 hingga 20 peratus ia sudah cukup membolehkan kita menang,” katanya pada sidang media dalam Konvensyen Biasa DAP Sabah, lapor Berita Harian, hari ini.

Guan Eng menambah, persempadanan pilihan raya turut menjadi faktor kekalahan mereka.

“Persempadanan pilihan raya yang tidak adil memberikan kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) sungguhpun mereka hanya menang undi popular 38 peratus.

“Selain itu, larangan berceramah dan bertemu pengundi seperti kebiasaan turut menjadi faktor kekalahan PH,” katanya.

Bagaimanapun, Guan Eng menyifatkan empat kerusi dimenangi DAP sesuatu yang sangat ikonik.

“Jumlah majoriti kemenangan di empat kerusi berkenaan sangat besar dan kekalahan di empat kerusi yang ditandingi pula sangat rendah majoritinya.

“Sekurang-kurangnya 6,000 hingga 11,000 majoriti di empat kerusi yang kita menang.

“Empat kerusi yang kita kalah pula majoriti agak tipis iaitu di antara yang paling kecil 131 hingga 1,000 lebih,” katanya.

PH hanya memenangi lima daripada 28 kerusi yang ditandingi dalam PRN Melaka, semalam.

Selain DAP yang menang empat kerusi, Amanah telah menang satu kerusi di Bukit Katil menerusi Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari.

Manakala, PKR terpaksa akur PRN Melaka ini adalah edisi terburuk mereka apabila gagal memenangi sebarang kerusi daripada 11 yang ditandingi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here