SELEPAS hampir dua minggu berkempen, hari ini segalanya bakal terjawab. Persoalan ‘Melaka milik siapa?’ akan diketahui hari ini.
Apa yang pasti penentuan kini di tangan 476,037 daftar pemilih yang layak mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka seperti mana diumum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Sebanyak 217 pusat mengundi membabitkan 1,109 saluran akan dibuka untuk pengundian yang akan bermula bermula 8 pagi ini sehingga 5.30 petang.
PRN Melaka kali ini menyaksikan 112 calon bertanding daripada pelbagai parti politik dan individu. Ia membabitkan 90 calon mewakili lima parti politik dan 22 calon Bebas.
Mengikut pecahan, 28 calon masing-masing daripada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), lima daripada Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) dan seorang calon mewakili Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN).
PRN Melaka juga menyaksikan pertandingan enam penjuru di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan kerusi DUN Asahan, Duyong dan Gadek.
Sebanyak lima kerusi iaitu DUN Rembia, Machap Jaya, Paya Rumput, Pengkalan Batu dan Bemban pula, menyaksikan pertembungan lima penjuru.
Sementara, sembilan DUN menyaksikan pertandingan empat penjuru manakala 11 lagi DUN, tiga penjuru.
DUN yang menyaksikan pertandingan empat penjuru ialah Kuala Linggi, Durian Tunggal, Sungai Udang, Bukit Katil, Ayer Molek, Bandar Hilir, Telok Mas, Serkam dan Sungai Rambai.
Manakala, tiga penjuru pula di DUN di Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Taboh Naning, Pantai Kundor, Kelebang, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana, Rim dan Merlimau.
PRN Melaka ini disifatkan sebagai medan ujian kepada BN, PN dan PH.
Namun, lebih mencuri tumpuan adalah persaingan antara BN dan PN – rakan sekutu membentuk kerajaan pusat – namun ‘bertempur’ di medan perang PRN Melaka.
Ramai pihak percaya, PRN Melaka akan dijadikan penanda aras kepada parti politik untuk menyusun strategi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.
Malah, tidak kurang juga yang meramalkan ia berpotensi mencetuskan jajaran baharu politik yang sekali gus merubah landskap politik negara.
Apapun, pengundi Melaka gunakanlah peluang hari ini untuk menterjemahkan suara rakyat dan memilih dengan bijak demi masa depan bumi Hang Tuah. Selamat mengundi! – Malaysiapost

