PENGUNDI Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dinasihat keluar mengundi awal kerana Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir dijangka pada waktu petang di semua kawasan.
MetMalaysia meramalkan cuaca di sebelah pagi cerah di kesemua tiga daerah Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah.
Proses pengundian PRN Melaka membabitkan 476,037 pemilih bermula jam 8 pagi tadi sehingga jam 5.30 petang.
Ia membabitkan 217 pusat pengundian dibuka membabitkan sebanyak 1,109 saluran.
Memandangkan PRN ini diadakan dalam keadaan negara masih berdepan ancaman pandemik Covid-19, pengundi diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Ia termasuk mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan, saringan suhu badan dan merekodkan kehadiran dengan mengimbas kod respons pantas (QR) MySejahtera sebelum masuk ke pusat mengundi. – Malaysiapost

