PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari menyeru pengundi segera menunaikan tanggungjawab keluar mengundi susulan peratusan ketika ini dilaporkan masih rendah.
Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil itu juga menzahirkan rasa bimbang dengan situasi berkenaan, menjelaskan sehingga jam 12 tengah hari tadi hanya 36 peratus yang sudah keluar mengundi.
“Saya lihat sehingga jam 12 tadi, kadar keluar mengundi di Melaka masih rendah. Tak sampai 40 peratus.
“Kita harap rakyat Melaka laksanakan tanggungjawab kita untuk segera keluar mengundi untuk Pilihan Raya Negeri Melaka,” katanya menerusi hantaran audio di WhatsApps.
Dalam perkembangan berkaitan, Adly turut memaklumkan menerima laporan wakil calon PH telah diarahkan keluar oleh ketua-ketua pusat mengundi kerana mereka tidak mematuhi peraturan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Memang kita terima laporan dari wakil calon kita, ada sebahagian ejen tempat mengundi kita diarahkan keluar lepas dua jam, kerana ketua tempat mengundi itu tidak memahami peraturan itu.
“Peraturan menyebut mereka boleh bertugas sekurang-kurangnya dua jam. Kita mengarahkan petugas kita untuk terus bertugas dan mereka telah dibenarkan semula untuk bertugas.
“Jadi kita harap ketua tempat mengundi itu peka dengan peraturan sedia ada yang telah ditetapkan oleh SPR Malaysia itu sendiri,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan beberapa petugas dan wakil calon PH di DUN Ayer Molek diarahkan keluar dari pusat mengundi oleh ketua tempat mengundi.
Selain itu, media melaporkan terdapat aduan polis mengenai parti politik yang dilihat masih menjalankan kempen dan sengaja membuka barung untuk meraih undi biarpun ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya (1954). – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook/Adly Zahari

