PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru penduduk Melaka memanfaatkan masa berbaki kurang satu jam lagi untuk keluar mengundi.
Beliau berkata, pusat pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan ditutup tidak lama lagi, namun peratusan mereka yang keluar mengundi masih rendah.
“Setakat ini, peratusan mereka yang keluar mengundi masih rendah, iaitu kurang daripada 60 peratus.
“Bagi pihak Perikatan Nasional, saya merayu kepada pengundi yang belum keluar menunaikan tanggungjawab, segeralah berbuat demikian.
“Manfaatkanlah tempoh masa yang masih bebaki ini untuk keluar mengundi. Bawa sekali ahli keluarga, rakan serta sahabat handai yang belum berbuat demikian,” katanya menerusi Facebook.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, undi warga Melaka penting sebagai penentu masa depan bagi penubuhan sebuah kerajaan negeri yang prihatin rakyat dan berintegriti.
“Saya berharap semua pihak dapat tunaikan tanggungjawab. Peningkatan jumlah pengundi akan dapat memberi gambaran jelas dan nyata kehendak pengundi dalam PRN Melaka,” katanya. – Malaysiapost

