
TINDAKAN segelintir ahli politik memuat naik poster di media sosial untuk menyeru pengundi menyokong parti masing-masing, dilihat melanggar larangan berkempen di hari mengundi.
Dua pemimpin politik yang dikesan ingkar terhadap larangan itu adalah Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, lapor MalaysiaKini.
Kor Ming dilihat turut berkongsi beberapa poster menerusi ciapan di Twitternya menggesa pengundi Melaka memilih Pakatan Harapan (PH).
Pemimpin DAP itu memuat naik empat gambar kira-kira jam 1.10 tengah hari tadi termasuk gambar calon Ketua Menteri PH Adly Zahari kata-kata: “Balik undi! Adly jadi Ketua Menteri.”
“Undi PH sekarang untuk selamatkan negara dan masa depan anak kita. Jangan sesekali benarkan fanatik, katak politik & pencuri menentukan nasib anda,” tulisnya dalam ciapan itu.
Sementara, Khairy pula dilihat memuat naik poster di Instagram, menggesa pengundi memilih Barisan Nasional (BN).
Dalam poster yang dimuat naik di Instagram Story, ia memaparkan imej animasi Khairy agar memilih BN demi ‘kestabilan dan kemakmuran;.
Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom menjelaskan bahawa undang-undang menyatakan tiada kempen dibenarkan pada hari mengundi.
Seksyen 26 Akta Kesalahan Pilihan Raya menggariskan batasan di hari mengundi dan antara lain melarang membuat sebarang bentuk kenyataan kempen di hari tersebut. – Malaysiapost
