PELAKSANAAN prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah demi mengimbangi perjalanan proses demokrasi negara ini serta memastikan keutamaan terhadap kesihatan dan keselamatan rakyat.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, beliau akui ramai pihak tidak berpuas hati terhadap SOP berkenaan, termasuk dari partinya sendiri, namun Khairy berpendapat, SOP Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk PRN ini adalah tepat.
Tambah Khairy, SOP yang dikeluarkan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia itu adalah bagi mengekang penularan wabak Covid-19 yang lebih serius.
“Kita sudah pasti tak mahu halang proses demokrasi, kerana itu penting, tetapi yang sama penting ialah kesihatan awam.
“Dalam hal pilihan raya, kita kena imbangi hak demokrasi (yang) termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan juga kesihatan awam untuk pastikan tidak berlaku peningkatan kes mendadak disebabkan PRN,” katanya dipetik Astro Awani, hari ini.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Rembau itu berkata, secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan pelaksanaan SOP tersebut dan ia mungkin akan dipakai untuk Pilihan Raya Negeri Sarawak dengan beberapa modifikasi.
Khairy dalam masa sama mengharapkan pematuhan tersebut berterusan sehingga hari pengundian esok (20 November) terutamanya oleh calon bertanding, pengundi dan petugas parti.
Menurut beliau, rakyat Melaka tidak perlu berasa takut untuk keluar mengundi kerana SPR dan KKM akan memastikan proses berjalan dalam suasana yang teratur dan selamat. – Malaysiapost

