MENJELANG hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok, serangan peribadi menerusi poster dan kain rentang semakin menjadi-jadi.
Antara yang menjadi mangsa adalah calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, Datuk Seri Idris Haron.
Berdasarkan gambar-gambar yang tular di media sosial, beberapa kain rentang yang mengaitkan nama Idris dengan isu royalti pasir terpampang di bahu jalan.
Tulisan seperti “Idris Haron raja pasir”, “Idris menangis rakyat makan pasir” dan “The real raja pasir Idris Haron” yang ditulis di atas kain putih menimbulkan persoalan kaitan antara calon PH itu dengan isu royalti pasir yang dibangkitkan.
Ini kerana sebelum ini Idris antara yang lantang membangkitkan isu penyelewengan royalti pasir yang didakwa berlaku ketika pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Udang itu dalam satu program bual bicara mendakwa terdapat pemimpin Umno di Melaka membolot projek ekonomi dan menipu kerajaan Persekutuan berkaitan royalti pasir.
Dalam pendedahan itu, Idris berkata disebabkan perkara tersebut, beliau terpaksa menarik sokongan terhadap Kerajaan Negeri Melaka untuk menyelamatkan Umno daripada ditolak oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Pendedahan Idris itu turut mendapat perhatian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
SPRM dalam kenyataan berkata, mana-mana pihak yang memiliki maklumat atau bukti salah laku rasuah dan penyelewengan berhubung isu berkenaan diminta tampil untuk memberi kerjasama kepada SPRM. – Malaysiapost

