UMNO menyangkal bersikap seperti ‘Abang Long’ sebaliknya telah menghulurkan salam permuafakatan kepada PAS khususnya di dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ini atas nama Muafakat Nasional (MN).
Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Umno telah menyatakan pendiriannya berdasarkan ketetapan yang diputuskan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020, yang lalu.
“Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang dipengerusikan Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memutuskan meneruskan persefahaman dengan PAS selaras ketetapan PAU 2020 iaitu memperkukuhkan MN dalam PRN Melaka.
“Asas persefahaman dengan PAS berpandukan kepada prinsip bahawa PAS menggunakan lambang partinya sendiri. Ini selaras dengan ketetapan Jawatankuasa Induk MN dalam mesyuarat pada 19 Oktober dan 18 November 2020.
“Ini adalah untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri dan pada masa yang sama mengekalkan penggunaan lambang parti masing-masing dalam pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, Jawatankuasa PAS Pusat telah membuat keputusan pada 1 November lalu untuk menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN), bukan lambang mereka sendiri pada PRN Melaka.
“Sehubungan dengan itu, kerjasama yang telah diputuskan oleh MKT Umno adalah dalam bentuk MN,” katanya.
Semalam, seorang pemimpin PAS mendakwa sikap ‘Abang Long’ pemimpin tertinggi Umno menyebabkan PAS, Umno dan Bersatu gagal membentuk kerjasama dalam PRN Melaka hingga menyebabkan pertembungan sama sendiri. – Malaysiapost

