BERANG gagal mencari calon jodoh di sebuah laman web, seorang anggota polis bertindak memukul seorang wanita dalam kejadian di Jalan 2 Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, kelmarin.
Kejadian dipercayai berlaku apabila suspek yang berusia 35 tahun ke pejabat wanita terbabit yang juga pegawai khidmat pelanggan sebelum berlaku perselisihan faham.
Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, berkata siasatan mendapati berlaku perselisihan faham antara mereka kerana suspek sudah membayar RM2,500 kepada wanita berkenaan untuk mencari jodoh di laman web.
“Bagaimanapun, tiada calon jodoh ditemukan dalam masa enam bulan.
“Suspek menyalahkan wanita itu sebelum membawa mangsa ke dalam lif dan bertindak menyerangnya di dalam lif,”katanya dalam kenyataan, hari ini.
Muhammad Idzam berkataa, mangsa yang mengalami pendarahan di kepala kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).
“Polis sudah mengenal pasti lelaki yang terbabit dalam kejadian itu dan akan memanggilnya bagi memberi keterangan berhubung kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu mencederakan orang,” katanya. – Malaysiapost
Kredit Foto: PDRM

