[PARLIMEN] SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia (SKMM) diarah meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) berkaitan kandungan berbentuk penghinaan yang melibatkan agama, kaum dan Institusi Raja di media sosial.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata ia bagi mengkaji jenis tindakan lebih proaktif terhadap pihak tertentu yang melakukan penghinaan seperti itu di media sosial.
“Ketika ini, saya difahamkan SKMM sedang merujuk perkara itu kepada pihak Jabatan Peguam Negara.
“Ia bagi membolehkan penafsiran lebih jelas mengikut perundangan sedia ada yang dirasakan tindakan lebih tegas dan pantas tanpa kompromi boleh dilakukan terhadap penghinaan Islam dan agama lain,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Annuar menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) mengenai langkah strategik diambil SKMM bagi menangani isu penghinaan terhadap Islam di media sosial, pada sesi pertanyaan menteri.
Annuar berkata, SKMM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui mesyuarat jawatankuasa induk juga menyatakan komitmen bagi mengukuh kerjasama membanteras jenayah serta melindungi pengguna internet dalam negara.
“Melalui pengukuhan kerjasama ini, proses pemantapan interoperability bersama ‘Police Cyber Investigation Response Centre’ di bawah PDRM juga sudah dimulakan.
“Ia bagi memudahkan koordinasi dan penyelarasan dalam mengenal pasti kandungan yang boleh menggugat ketenteraman awam,” katanya.
Bagaimanapun, Annuar ketika menjawab soalan tambahan Wan Hassan, menafikan kekurangan tenaga kerja menyebabkan kurang pemantauan kandungan sedemikian di media sosial.
“Ia soal bagaimana media sosial dikendalikan, misalnya oleh penyedia perkhidmatan berpangkalan di luar negara dan pihak mempunyai hak menurunkan hantaran berbaur penghinaan.
“Kita tertakluk kepada proses perundangan tertentu kerana pelanggaran ini kebanyakannya apabila ia bercanggah dengan mana-mana peruntukan mengikut Kanun Keseksaan atau Akta Hasutan, maka proses penyiasatan dan proses lain perlu dilakukan yang biasanya mengambil masa,” katanya. – Malaysiapost

