Kalau buruk, kenapa PH teruskan projek tambak laut, sindir Najib

0
1
Pix via Malaysiapost

PAKATAN Harapan (PH) sekali lagi menjadikan projek tambakan laut di Melaka sebagai isu dalam kempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu.

Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak berkata, ini sama seperti sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Kata bekas Perdana Menteri itu, PH pada PRU14 lalu telah ‘menyerang’ projek tambakan laut Melaka Gateway, kononnya projek itu memberi keburukan dan tiada manfaat bagi rakyat.

“Geng PH dan PN sedang serang projek tambakan laut kerajaan BN Melaka.

“Nak dijadikan isu PRN Melaka. Kononnya akan kaji semula projek-projek tersebut jika mereka menang PRN sebab kata projek-projek ini menjejaskan warga Melaka.

“Mereka kata janji akan kaji semula sahaja. Bukan kata nak batalkan pun jika menang,” katanya di Facebook, hari ini.

Mengulas mengenainya, bekas Ahli Parlimen Pekan itu menjelaskan, PH telah meneruskan projek BN itu selepas menguasai kerajaan Melaka pada PRU14, walaupun sebelum itu mengecam kuat kononnya projek BN dan Najib jual negara.

Malah, Najib berkata, projek tambakan laut diusahakan BN itu mendapat pengiktirafan Menteri Hal Ehwal Ekonomi pada zaman pemerintahan PH.

“Bulan September 2018 yang sama, Menteri Ekonomi Azmin Ali kata projek Melaka Gateway adalah baik dan penting untuk ekonomi negara.

“Dan pada tahun 2019 sebelum kerajaan PH Melaka tumbang, Adly (Zahari).sekali lagi kata: Projek Melaka Gateway akan terus berada di landasannya dan tidak akan dihentikan kerana bakal memberi limpahan rezeki kepada rakyat negeri ini,” katanya.

Najib juga secara sinis menyindir PH bahawa projek yang tidak memberi manfaat kepada rakyat itu telah menjadi limpahan rezeki apabila mereka berkuasa memerintah Melaka pada 2018. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here