KERETA dipercayai milik seorang pegawai kastam musnah terbakar disyaki akibat perbuatan khianat dalam kejadian di sebuah pusat mencuci kereta di Taman Pandamaran Permai, Klang, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, terlebih dahulu kenderaan terbabit turut dilempar cat ketika berada di persimpangan lampu isyarat.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, berkata kereta milik mangsa berumur 50-an itu kemudian dihantar untuk dicuci.
“Mangsa kemudiannya membawa kereta untuk dicuci dan tiba-tiba kereta itu terbakar,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan termasuk kemungkinan berkaitan unsur khianat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis, menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 11.03 pagi.
“Kejadian melibatkan sebuah kereta Proton X70 di sebuah pusat mencuci kereta yang mengalami kebakaran sebanyak 90 peratus dan tiga peratus pada bahagian bumbung kedai,” katanya. – Malaysiapost

