Cukup sekali orang Melaka diperdaya – Ahmad Zahid

0
2

RAKYAT Melaka perlu mengembalikan sebuah kerajaan negeri yang kukuh dan stabil pada Sabtu ini, selepas diperdaya dalam pilihan raya terdahulu, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Presiden Umno, berkata cukuplah sekali orang pernah diperdaya dan janganlah diulangi kesilapan sama yang akan memudaratkan masa depan rakyat Melaka.

Menurutnya, Melaka memerlukan semangat yang dipandu kerajaan BN itu untuk kembali demi memastikan negeri berkenaan dan rakyatnya dapat mengharungi era masa depan yang pasti lebih mencabar.

“Maka janganlah sesekali orang Melaka mensia-siakan peluang itu kerana peluang yang sama akan hanya hadir untuk tempoh yang lama selepas 20 November ini berakhir.

“Bukankah rakyat Melaka sudah merasai sejarah hitam 22 bulan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang banyak menyusahkan hati dan jiwa raga mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, rakyat Melaka juga sudah menyaksikan sebuah kerajaan negeri tanpa kestabilan rebah begitu mudah pada 4 Oktober lalu angkara komplot empat wakil rakyat termasuk daripada Bersatu dan Bebas.

“Dalam erti kata lain rakyat Melaka seharusnya boleh mencongak parti politik manakah yang menjadi punca kepada kejatuhan kerajaan Melaka pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

“Pengundi atas pagar atau tidak berpartisan pula perlu memahami bahawa dengan mengundi sebuah lagi parti bertanding iaitu Perikatan Nasional (PN) tidak akan membawa kestabilan di Melaka,” katanya.

Menurutnya, PN yang merupakan parti serpihan Umno tidak mempunyai asas yang jitu di Melaka termasuk dalam kalangan penyokong tegar, maka mengundi PN tidak akan memenangkan PN di Melaka.

“Sebaliknya setiap undi kepada PN ibarat memberi satu undi kepada PH untuk berkuasa semula di Melaka dan itu sesuatu yang tidak mahu dilihat oleh majoriti rakyat Malaysia,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, rakyat Melaka perlu memahami dengan jelas bahawa masa depan Melaka terletak kepada sebuah pentadbiran yang stabil demi kemakmuran dan kerajaan BN selama berpuluh tahun membawa falsafah itu tanpa gagal.

“Maka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini rakyat Melaka berpeluang menjadi perintis kepada kebangkitan kestabilan dan kemakmuran masa lalu bukan sahaja di negeri itu malah buat Malaysia amnya.

“Justeru, rakyat Melaka fikirlah sedalam-dalamnya dan tidak membuat keputusan cuma berdasarkan tohmahan yang direka oleh musuh BN kerana akibat buruknya adalah masa depan Melaka,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here