Batal pas warga asing, senarai hitam jika sengaja langgar undang-undang

0
2

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) tidak akan teragak-agak untuk membatalkan pas dan sebarang kemudahan Imigresen kepada warganegara asing yang sengaja tidak mematuhi undang-undang negara ini.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, selain itu mereka juga akan diusir pulang ke negara asal dan disenarai hitam dari memasuki negara ini semula, seperti diperuntukkan dalam Seksyen 8 dan Seksyen 9 Akta Imigresen 1959/63.

“Kebelakangan ini sering tular di dalam media sosial isu warganegara asing yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19.

“Malahan terdapat dalam kalangan mereka yang sengaja mencabar pihak berkuasa supaya mengambil tindakan ke atas mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Khairul Dzaimee berkata, JIM menasihatkan semua warga asing mematuhi arahan dan peraturan semasa agensi-agensi kerajaan berhubung langkah pencegahan pandemik Covid-19.

“Selain itu, jabatan ini mengingatkan warga tempatan yang menjadi penaja atau majikan kepada warganegara asing supaya lebih bertanggungjawab memastikan mereka patuh kepada arahan dan undang-undang negara ini,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya memaklumkan polis membuka kertas siasatan berhubung tindakan dua wanita warga asing melanggar SOP dengan tidak memakai pelitup muka di taman KLCC, yang tular di media sosial.

Katanya, hasil penelitian ke atas gambar berkenaan menunjukkan wanita bukan warganegara itu tidak memakai pelitup muka di laluan pejalan kaki taman KLCC.

Sebelum ini, seorang wanita warga asing membuat kecoh apabila cuba memasuki sebuah butik di ibu kota tanpa memakai pelitup muka.

Wanita itu juga dilihat membuat cubaan yang sama enggan memakai pelitup muka ketika memasuki sebuah pusat membeli belah namun dihalang oleh pengawal keselamatan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here