SAKSI nahas pesawat Hawk 108 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas di Pangkalan Udara Butterworth, malam tadi mendakwa mendengar bunyi dua letupan kuat.
Peniaga kedai makan, Mastura Mohammad Nordin, 44, berkata dia biasa mendengar bunyi pesawat di pangkalan udara berkenaan kerana kedainya terletak hanya kira-kira 100 meter, namun bunyi deruan pesawat agak kuat berbanding kebiasaannya malam tadi.
“Saya memang dah terbiasa dengan bunyi pesawat tetapi yang ini memang lain.
“Ketika ia hampir mendarat saya dengar dua dentuman sangat kuat sebelum melihat api marak ketika pesawat itu terhempas,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Beliau berkata, ketika kejadian dia sedang mengemas gerainya untuk pulang ke rumah yang terletak berdekatan, namun dikejutkan dengan insiden itu.
Terdahulu, TUDM dalam satu kenyataan mengesahkan seorang juruterbang maut, manakala seorang cedera selepas pesawat pejuang Hawk 108 terhempas di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang.
Juruterbang maut dikenali Kapten Mohamad Affendi Bustamy manakala rakannya, Mejar Mohd Fareez Omar kini menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan dilaporkan dalam keadaan selamat dan stabil.- Malaysiapost

