MENTERI Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengesahkan seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut dalam nahas pesawat Hawk 108 terhempas di Butterworth malam tadi.
Beliau turut mengesahkan seorang lagi anggota TUDM mengalami kecederaan dan telah dikejarkan ke hospital untuk rawatan.
“Baru terima panggilan daripada Panglima @tudm_rasmi Jen TS Ackbal memaklumkan insiden pesawat Hawk 108 yang terhempas di Butterworth tadi.
“Seorang anggota kehilangan nyawa, seorang lagi cedera. TUDM telah diarahkan segera berikan laporan lebih terperinci dan siasat punca kejadian.
“Takziah kepada keluarga anggota TUDM yg maut serta seorang lagi yang cedera. Amat sedih dan dukacita terima berita ini. Saya difahamkan anggota yang cedera telah dibawa untuk rawatan segera,” katanya menerusi ciapan di Twitter.
Hishammuddin berkata Kementerian Pertahanan telah diarah untuk menyalurkan apa jua keperluan kepada keluarga kedua-dua anggota terlibat.
Terdahulu TUDM mengesahkan berlaku kemalangan melibatkan sebuah pesawat pejuang Hawk di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterworth pada jam 10.07 malam tadi.
Menurut TUDM, pihaknya sedang mengambil tindakan segera dan akan memaklumkan perkembangan semasa berhubung insiden kemalangan tersebut. – Malaysiapost

