KENYATAAN Lim Kit Siang mendakwa tindakan PAS mengharamkan perjudian di Kedah dan membangkitkan isu arak melanggar prinsip Rukun Negara, menunjukkan wajah sebenar Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya.
Sehubungan itu, Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak Pas Pusat, Ahmad Dusuki Abdul Rani penduduk Melaka perlu menolak PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.
“Tak sepatutnya undi penduduk Melaka diberikan kepada PH dan sekutu-sekutunya. Dia (Kit Siang) semakin menjelas siapa PH dan sekutu-sekutunya yang sebenarnya.
“Ayuh pengundi Melaka… Allah memperkenalkan musuhnya kepada kalian semua, pastikan undi kalian untuk keselamatan ummah,” tulisnya menerusi satu hantaran di Facebooknya.
Semalam Kit Siang meminta pengundi di Melaka menolak calon PAS, Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) dalam PRN kerana tidak setia terhadap prinsip Rukun Negara.
Katanya, tindakan PAS mengharamkan perjudian di Kedah dan membangkitkan isu arak adalah salah, ekstremis dan tidak bertolak ansur kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum, bahasa, agama dan budaya.
Isnin lalu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan kerajaan negeri itu menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak lagi akan memberi kelulusan lesen premis perjudian selain menghadkan aktiviti penjualan arak di seluruh negeri berkuatkuasa serta-merta.
Katanya, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Exco minggu lalu bagi mengelak mudarat yang lebih banyak kepada penduduk. – Malaysiapost

