Calon PN di Klebang menitis air terkenang jasa arwah ibu

0
1

Nurul Huda Abhar

CALON Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, Bakri Jamaluddin tidak dapat menahan sebak mengimbau jasa arwah ibunya yang banyak berkorban untuk keluarga dan dirinya.

Menerusi video dimuat naik di Facebook, Bakri menitiskan air mata mengenangkan ibunya sanggup bangun pada jam 3 pagi semata-mata untuk menemaninya belajar.

Katanya, beliau berasal daripada keluarga yang susah menyebabkan abangnya terpaksa melupakan hasrat untuk menyambung belajar dan terpaksa bekerja selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semata-mata memberi laluan kepada dirinya melanjutkan pengajian ke universiti.

“Setiap kali saya bangun belajar sehingga 3 pagi, ibu sanggup tunggu saya. Sampai satu masa, ibu bagi semangat, dia rendam kaki saya supaya saya tidak mengantuk.

“Jadi saya anak pertama yang masuk universiti. Saya tidak sambung sampai ijazah kerana di bawah saya ramai adik yang perlukan pertolongan.

“Saya ambil keputusan untuk bekerja dan Alhamdulillah boleh menanggung semua adik-adik di bawah saya. Semua ini didikan dari mak saya,” katanya dalam video itu.

Bakri yang berkelulusan daripada Universiti Pertanian yang kini dikenali sebagai Universiti Putra Malaysia (UPM) sentiasa mengingati pesan arwah ibu, iaitu bantu orang yang susah apabila telah hidup nanti.

Beliau berasal dari Tangga Batu berkata, jika diberikan mandat di Kelebang, fokus utamanya adalah golongan B40.

“Saya faham kesusahan mereka kerana saya juga bermula dari situ. Insyaallah, saya akan bersama warga Kelebang merealisasikannya. Kelebang sejahtera harapan kita bersama,” katanya.

DUN Klebang bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Bakri, Datuk Lim Ban Hong (Barisan Nasional) dan Gue Teck (PKR) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 Nov ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here