
TINDAKAN menutup premis judi berlesen dilihat bukan sahaja akan mengakibatkan kehilangan pekerjaan kepada rakyat, tetapi akan menimbulkan masalah lain di kemudian hari.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan, berkata beliau secara peribadi berpendapat tindakan itu akan menyebabkan kehilangan pekerjaan.
“Kita ada pengalaman sebelum ini apabila penjualan arak tidak dibenarkan, aktiviti penjualan samsu haram meningkat.
“Begitu juga jika kedai-kedai judi berlesen ditutup bukan sahaja pekerjanya akan hilang pekerjaan tetapi tempat-tempat judi haram akan wujud jadi kita kena mengawasi keadaan ini demi kebaikan negara,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau memberi respon kepada Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer yang bertanyakan pendiriannya berhubung penutupan premis judi.
Terdahulu, Rayer berkata pengumuman mengenai larangan premis judi akan menyebabkan kehilangan pekerjaan.
“Kalau tindakan sama juga berlaku di Genting Highlands bayangkan berapa ramai yang akan hilang kerja.
“Ramai yang beragama Islam dan bukan Islam bekerja di tempat sebegini” katanya.
Ahad lalu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan kerajaan negeri tidak lagi akan memberi kelulusan lesen premis perjudian di semua pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurutnya, ia bagi mewujudkan keadaan Kedah bebas judi kerana ramai sedia maklum dan diakui semua pihak bahawa perjudian adalah punca kepada kerosakan dan keruntuhan tamadun. – Malaysiapost
