Ekonomi Melaka potensi berkembang pasca pandemik – Azmin

0
1

EKONOMI Malaysia terutamanya Melaka cukup berpotensi untuk berkembang ketika pasca pandemik Covid-19, kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Perikatan Nasional (PN), berkata perkara itu turut dinyatakannya ketika beramah mesra bersama pimpinan masyarakat Cina di Taman Kerjasama, Bukit Beruang, hari ini.

“Saya berpeluang beramah mesra secara santai bersama pimpinan masyarakat Cina di Taman Kerjasama, Bukit Beruang. Banyak hal kami bualkan termasuk lanskap ekonomi negara pasca pandemik Covid-19.

“Saya menyatakan kepada mereka, ekonomi Malaysia terutamanya Melaka cukup berpotensi untuk berkembang,” katanya menerusi Facebook.

Mohamed Azmin berkata, keupayaan Malaysia terus dipertingkatkan bagi menjadi destinasi pelaburan berkualiti tinggi, di samping langkah-langkah pembangunan ekosistem mesra pelabur, seiring objektif Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA).

“Malah perjanjian CPTPP juga yang bentangkan dalam sesi penggulungan semalam juga akan mampu memberikan pelbagai faedah dan pulangan positif kepada sektor-sektor ekonomi di masa akan datang.

“Sudah tentu, perjanjian ini menyediakan ruang dan peluang kepada industri dan pembekal perkhidmatan untuk mendapat manfaat optimum melalui akses pasaran yang luas dan semakin berkembang,” katanya.

Sementara itu, dalam hantaran berasingan, Mohamed Azmin berkata, dalam kunjungannya ke Pasar Besar Batu Berendam pagi tadi, rata-rata komuniti perniaga berasa lega kerana dapat kembali meneruskan perniagaan.

“Mereka minta saya sampaikan salam buat Abah, hero rakyat yang telah menggalas tugas yang amat berat bagi mendepani pandemik Covid-19 yang melanda satu dunia. InshaAllah, akan saya maklumkan nanti,” katanya.

Berbaki empat hari lagi tarikh pengundian PRN Melaka pada Sabtu ini, menyaksikan aktiviti kempen giat dilaksanakan calon dan parti yang bertanding.

PRN Melaka terpaksa diadakan selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepemimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali, sekali gus menyaksikan kerajaan negeri yang diterajui BN tumbang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here