Sulaiman puas hati proses pengundian lancar

0
1

CALON Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berpuas hati dengan proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berlangsung dalam suasana norma baharu.

Bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata di DUN Lendu terdapat dua pusat pengundian awal dibuka sempena PRN Melaka.

“Pagi ini, saya ambil kesempatan untuk hadir di Balai Polis Masjid Tanah bagi melihat proses pengundian awal dijalankan, selain bertanya khabau (khabar) petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Saya juga berkesempatan hadir di Kem 96 DPP Masjid Tanah bagi melihat anggota tentera menjalankan tanggungjawab mereka bagi proses pengundian awal.

“Secara keseluruhannya, saya berpuas hati melihat prosedur pengundian dijalankan khususnya dalam suasana norma baharu,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Sulaiman yang juga calon Ketua Menteri BN turut mengucapkan selamat mengundi kepada pengundi di seluruh tempat mengundi di Melaka.

Setakat jam 12 tengah hari tadi, sebanyak 52 peratus pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab mereka di 31 lokasi di seluruh negeri. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here