JABATAN Kesihatan Negeri Pahang menjelaskan isu tular di media sosial mengenai bas membawa pesakit Covid-19 dari Cameron Highlands baru-baru ini, terkawal dan hanya melibatkan prosedur biasa pemindahan pesakit positif ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, berdasarkan laporan, kejadian itu berlaku pada 9 November lalu di mana hanya sembilan pesakit positif Covid-19 dibawa menggunakan bas pada tarikh tersebut.
“Ia merangkumi dua kes ke PKRC Maran, dua kes ke PKRC Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan lima kes ke PKRC Institut Latihan Kementerian Kesihatan (ILKKM).
“Kesemua sembilan orang pesakit ini perlu dimasukkan ke PKRC kerana situasi rumah yang kurang sesuai untuk menjalani kuarantin kendiri serta pesakit ini terdiri daripada golongan kanak-kanak dan pesakit co-morbid,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjelaskan isu tular di laman sosial berkaitan berita bertajuk ‘Pengunjung Terkandas ‘Seram’, Kecoh Bas Bawa Pesakit Covid-19 dari Cameron Highlands’ hingga mendapat perhatian ramai.
Dalam pada itu, beliau berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Cameron Highlands setakat ini, tidak menerima sebarang notifikasi kes positif Covid-19 dalam kalangan pelancong untuk tujuan pengesanan kontak.
Katanya, notifikasi untuk tindakan pengesanan kontak yang diterima setakat ini adalah melibatkan kontak keluarga dan bukannya pelancong.
“Sehingga 16 November (hari ini). kes aktif di daerah Cameron Highlands adalah sebanyak 77 kes melibatkan 17 kes import dan selebihnya adalah kes tempatan.
“Status Covid-19 di daerah Cameron Highlands adalah terkawal dengan dua mukim berstatus jingga (Tanah Rata dan Ulu Telom) dan satu mukim berstatus kuning (Ringlet),” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat sentiasa patuhi SOP yang ditetapkan walaupun telah lengkap dos vaksinasi serta dibolehkan untuk bersosial seperti melancong dan merentas negeri.
“Kita belum menang lagi namun dengan usaha-usaha dan komitmen yang tinggi.
“Kita akan menang dan dapat memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. Bersama hidup sihat meskipun dalam Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

