PEMUDA PAS Johor hari ini memohon maaf kepada Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung kenyataan ‘usikan’ Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di laman sosial baru-baru.
Ia susulan ‘pertengkaran’ di media sosial antara Muhammad Sanusi yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dengan Tunku Mahkota Johor, yang juga merupakan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT).
Ketua Dewan Pemuda Pas Johor, Ahmad Nawfal Mahfodz berkata, pihaknya mengambil maklum salah faham dikhuatiri berpunca kekhilafan laras bahasa digunakan Muhammad Sanusi kepada Tunku Mahkota Johor lantaran teguran yang diberikan merujuk kepada isu tunggakan gaji para staf dan pemain KDA FC.
“Tanpa niat menderhaka, kami percaya bahawa beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Menteri Besar Kedah hanya membangkitkan semangat kesukanan, bukan atas dasar kepentingan peribadi.
“Justeru, Dewan Pemuda Pas Negeri Johor dengan rendah hati ingin merafak sembah ampun kepada Tunku Mahkota Johor di atas kekhilafan yang berlaku,” katanya menerusi laman Facebooknya hari ini
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya sentiasa mendukung aspirasi institusi Istana Johor terutamanya kepada Tunku Ismail sebagai penaung kepada para belia di negeri itu yang telah berjaya membuktikan kejayaan pembangunan dan kemajuan bola sepak di persada negara dan antarabangsa. – Malaysiapost

