PENYANYI rap, Caprice dilaporkan selamat mendirikan rumah tangga bersama wanita pilihan hati hari ini.
Menerusi perkongsian sekeping foto di Instastory Yasser Khan menunjukkan Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 33, menyarungkan sebentuk cincin ke jari manis pasangannya.
Pasangan itu memakai persalinan serba putih persis baju nikah.
Pemilik Instagram itu turut mengucapkan tahniah di atas perkahwinan tersebut.
“Congratulations brotha,” tulisnya.
Caprice dipercayai berkahwin dengan wanita dikenali sebagai Farra Inalis berusia 26 tahun dan merupakan ibu tunggal kepada seorang cahaya mata perempuan.
Sementara itu, pengurusnya, Aiman tidak dapat mengesahkan kesahihan berita berkenaan.
Namun, katanya, perkara itu akan dimaklumkan sendiri oleh pelantun lagu Lenglui itu nanti.
“Saya tidak boleh nak sahkan betul atau tidak. Tapi kalau orang kongsi gambar dia (berkahwin), sarung cincin di jari wanita, maksudnya, memang betullah dia dah kahwin,” katanya seperti dilapor Kosmo! Online.
Aiman berkata, Caprice sudah berkenalan dengan wanita itu sejak beberapa tahun lalu dan dia berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang.
“Apa yang saya tahu Caprice telah berkenalan dengan wanita itu setahun dua lalu. Saya sendiri tak dimaklumkan mengenai pernikahannya kerana sekarang saya berada di Langkawi. Saya dapat tahu dia berkahwin pun sekitar pukul 5 petang hari ini.
“Dia (isteri Caprice) baik orangnya dan dia berasal dari Kelantan. Apa-apa maklumat lanjut, akan datang dari bibir Caprice sendiri nanti,” katanya. – Malaysiapost

