TIADA sebarang kelemahan dan kesilapan dalam proses siasatan yang dijalankan terhadap kesemua kes membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata setakat ini semua kes membabitkan 1MDB masih dalam perbicaraan di mahkamah.
Beliau menjawab isu dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah yang bertanyakan adakah SPRM selama ini telah tersilap dalam mengumpul bukti serta saksi dalam kes-kes 1MDB.
Wan Junaidi berkata, pihak SPRM hanya menjalankan siasatan dan keputusan sama ada untuk menuduh atau tidak adalah di bawah bidang kuasa Peguam Negara.
“Setiap pendakwaan yang dijalankan adalah berdasarkan kepada hasil siasatan dan dalam pengetahuan SPRM tidak terdapat sebarang kelemahan dan kesilapan dalam proses siasatan yang dijalankan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, tindakan pembenterasan rasuah oleh SPRM sentiasa dipertingkatkan dan diperkemaskinikan sama ada dalam aspek operasi, pencegahan dan pendidikan.
“SPRM juga menambah baik kes penyiasatan dalam kes-kes rasuah dan salah guna kuasa di negara ini.
“Antara lain ialah melaksanakan urusan penyiasatan berkesan dalam kes berprofil tinggi dan mempunyai kepentingan awam.
“Selain itu penggunaan kaedah analisa kewangan dan perisikan juga sedang diperkembangkan lagi kerana jenayah rasuah semakin kompleks,” katanya.
Beliau memaklumkan terdapat 125 kes dan kertas siasatan membabitkan 1MDB telah dibuka dan daripada jumlah itu kes dibawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) adalah 84 kes serta pelucutan harta sebanyak 41 kes.
“Kes yang telah dibicarakan di bawah AMLA adalah dua kes dan pelucutan harta enam kes, manakala kes di peringkat rayuan adalah 13 kes,” katanya. – Malaysiapost

