Purata pendapatan penduduk luar bandar meningkat 34.5%

0
1

PURATA pendapatan penduduk luar bandar di negara ini meningkat sebanyak 34.5 peratus dalam tempoh 17 tahun.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan peningkatan pendapatan penduduk luar bandar daripada RM1,729 pada tahun 2002 kepada RM5,004 pada tahun 2019.

“Suka saya nyatakan bahawa selain peningkatan dalam purata pendapatan, penduduk luar bandar mencatat peningkatan dalam aspek bekalan air di rumah yang meningkat daripada 74.7 peratus pada tahun 2000 kepada 84.9 peratus pada tahun 2019.

“Ini bukti bahawa usaha dijalankan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KLPB) telah berjaya dan berhasil meningkatkan kualiti dan taraf hidup penduduk di luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Sesi Libat Urus Menteri Pembangunan Luar Bandar bersama Ahli Parlimen Kerajaan Keluarga Malaysia Backbenchers Club (KKMBBC) di Bangunan Parlimen di ibu negara hari ini.

Mahdzir berkata, perangkaan turut mencatatkan liputan bekalan elektrik di luar bandar meningkat daripada 84.6 peratus pada tahun 2000 kepada hampir 99 peratus pada tahun 2019.

Katanya data daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) pula menyatakan, capaian internet di luar bandar adalah sebanyak 83.9 peratus.

Mengenai Sesi Libat Urus KPLB bersama Ahli-Ahli Parlimen, beliau berkata ia bagi memberi penerangan mengenai hala tuju dan perancangan pembangunan KPLB tahun 2022.

“Ia merupakan salah satu inisiatif KPLB untuk mendapatkan kerjasama dan sokongan daripada Ahli-ahli Parlimen terhadap program-program yang dilaksanakan.

“Selain untuk mendapatkan maklum balas dan cadangan penambahbaikan program-program KPLB hasil dari pembentangan Bajet 2022,” katanya.

Untuk rekod, KPLB diperuntukkan RM10.53 bilion di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) bagi tahun 2022.

Jumlah itu meliputi RM3.52 bilion peruntukan mengurus dan RM7.01 bilion peruntukan pembangunan.

Peruntukan itu adalah RM345 juta atau 3.39 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan 2021.

Sementara itu Mahdzir berkata tumpuan KPLB juga terarah kepada program yang boleh meningkatkan tahap ekonomi penduduk luar bandar yang rata-ratanya terjejas teruk berikutan pandemik Covid-19.

Ia selaras matlamat Bajet 2022 “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera” agar dapat memberi manfaat kepada penduduk luar bandar terutamanya isi rumah golongan miskin, miskin tegar, B40 dan masyarakat Orang Asli.

“Bagi tahun 2022, KPLB juga akan terus berusaha meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada penduduk luar bandar, dibmana program infrastruktur luar bandar akan diteruskan bagi memastikan kesejahteraan penduduk luar bandar.

“Program seperti Jalan Luar Bandar, Bekalan Elektrik Luar Bandar, Bekalan Air Luar Bandar, Jalan Perhubungan Desa dan Program Ameniti Sosial akan diteruskan.

“Sebanyak RM2.44 bilion telah diperuntukkan untuk projek prasarana di luar bandar untuk tahun 2022,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here