PERBADANAN PR1MA Malaysia (PR1MA) hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya sebagai Pengerusi baharu perbadanan itu berkuatkuasa pada 12 November 2021.
Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Mohd Nazri Md Shariff berkata, pelantikan tersebut bagi menggantikan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.
Katanya, pihaknya yakin dan optimis Dr Fathul Bari akan memacu perkembangan PR1MA yang kini di landasan kukuh selari misi yang dimandatkan iaitu menyediakan kediaman mampu milik dan berkualiti tinggi untuk rakyat Malaysia berpendapatan pertengahan.
“Justeru, saya ingin merakamkan jutaan tahniah kepada Datuk Dr Fathul Bari atas pelantikan beliau sebagai pengerusi baharu PR1MA,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Fathul Bari memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Hadis daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Beliau memiliki pengalaman luas dalam sektor korporat, antaranya Pengerusi Dewan Perniagaan Industri Malaysia-Asia Barat (MyMEC) sejak 2017, Pengerusi Eksekutif Prime Care Medical Center Sdn Bhd (2021), Ahli Jawatankuasa Pengurusan Zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) (2020) dan Ahli Lembaga Pengurusan (ALP) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) (2020).
Beliau juga terlibat pelbagai aktiviti sosial dan kemasyarakatan dan terkini, dilantik sebagai Pengerusi Yayasan Khayr Ummah Antarabangsa (IKAF). – Malaysiapost

