DEWAN Pemuda PAS menyokong keputusan Kerajaan Kedah tidak menyambung lesen perniagaan pusat perjudian dan menghadkan jualan minuman keras di seluruh negeri itu.
Ketuanya Ahmad Fadhli Shaari, berkata pihaknya juga mengucapkan tahniah terhadap kerajaan negeri itu dan Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di atas keputusan berkenaan.
“Dewan Pemuda PAS Malaysia merakamkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Negeri Kedah di atas keputusan tidak menyambung lesen perniagaan pusat perjudian dan menghadkan jualan minuman keras di seluruh negeri seperti yang diumumkan Datuk Seri Menteri Besar Kedah.
“Dewan Pemuda PAS Malaysia amat menyokong tindakan ini dan berpandangan ia haruslah disokong oleh semua lapisan masyarakat demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, media melaporkan, Kerajaan Kedah tidak lagi akan memberi kelulusan lesen premis perjudian di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri bagi mewujudkan keadaan Kedah bebas judi.
Muhammad Sanusi berkata, ramai sedia maklum dan diakui semua pihak bahawa perjudian adalah punca kepada kerosakan dan keruntuhan tamadun.
“Khususnya keruntuhan institusi keluarga. Ramai yang terlibat dengan perjudian ini dibebani hutang dan menimbulkan ketidakamanan dalam kalangan keluarga sekaligus memporak-perandakan masyarakat
“Maka kerajaan negeri mengambil tanggungjawab untuk memastikan Kedah bebas judi dengan mengambil keputusan tidak lagi membenarkan kelulusan lesen premis perjudian melalui semua PBT di seluruh Kedah,” katanya. – Malaysiapost

