Judi: Keputusan kerajaan Kedah selaras kaedah Fiqh

0
1

TINDAKAN kerajaan Kedah menghentikan kelulusan lesen premis judi di seluruh negeri adalah selaras kaedah Fiqh yang menyebut “sesuatu yang tidak dapat dilaksanakan semua tidak ditinggalkan sebahagian besar daripadanya”.

Majlis Syura ‘Ulamak PAS menerusi kenyataan berkata ia juga usaha yang sangat baik bagi menghalang kemudaratan harta dan sosial kepada rakyat.

“Malah, Majlis Syura ‘Ulamak menyeru rakyat dan kerajaan tidak lagi menjadikan judi sebagai sumber pendapatan dan ekonomi bagi mengekang dan memerangi ‘ekonomi gelap’.

“Majlis Syura ‘Ulamak juga mengalu-alukan keputusan Mesyuarat Khas Exco Kerajaan Negeri yang mengehadkan penjualan arak kepada masyarakat bukan Islam sahaja khususnya di kawasan PBT yang tiada permintaan ke atas minuman keras.

“Hal ini kerana fakta menunjukkan arak menjadi salah satu punca kemalangan maut akibat pemandu mabuk serta memberi implikasi kehilangan nyawa dan kecederaan bukan sahaja kepada mangsa, bahkan keluarga selain kepentingan awam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Majlis Syura Ulamak PAS berkata tiada mana-mana agama di dunia yang membenarkan penganutnya berjudi.

Malah katanya, Islam melarang keras umatnya terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan arak dan judi.

“Majlis Syura ‘Ulamak sentiasa mendokong usaha baik mana-mana pihak bagi melahirkan masyarakat yang lebih aman, makmur dan terhindar dari segala musibah yang berpunca daripada arak serta judi,” katanya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here