Tiada calon mi segera, bukti BN komited berjuang untuk rakyat

0
1
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=279113874225015&set=pb.100063792127017.-2207520000..&type=3

TIADA calon ‘mi segera’ daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Dr Muhammad Akmal Saleh.

Menurutnya, keadaan itu membuktikan BN komited membantu rakyat berdasarkan calon-calon berkaliber yang dipertaruhkan dalam PRN Melaka pada 20 November ini.

Beliau berkata, tindakan mengelak daripada mencalonkan individu yang hanya bermusim mendekati rakyat ibarat ‘mi segera’ adalah perkara penting yang berjaya BN lakukan pada hari penamaan calon lalu.

“Kenapa rakyat perlu undi kepada BN? Kerana parti ini berani mempertaruhkah muka-muka baharu serta BN juga tidak meletakkan calon ‘mi segera’.

“Saya panggil ini sebagai calon ‘mi segera’ atau calon ‘durian’ sebab ada setengah itu datang bermusim sahaja iaitu masa pilihan raya. Jadi, pemimpin Umno/BN yang telah dipilih ini bukan calon sebegitu,” katanya dipetik Umno Online, hari ini.

Ditanya mengenai BN mencalonkan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri Melaka, Dr Akmal berkata, bekas Ketua Menteri itu telah menjalankan tugasnya dengan baik dan tiada sebab rakyat negeri itu meraguinya.

“Dari segi kebolehan Sulaiman mentadbir selama 18 bulan telah terbukti jadi tidak ada isu pun yang berlaku, jadi kenapa kita perlu tolak pemimpin sebegini untuk diangkat menjadi ketua kita?

“Jadi tidak ada alasan untuk orang Melaka mengatakan tidak kepada Sulaiman sebagai Ketua Menteri sekiranya Umno menang pada PRN ini,” katanya.

Dr Akmal yang juga Naib Ketua Pemuda Melaka menegaskan, 86 peratus calon muka baharu yang diketengahkan oleh Umno dan BN kali ini juga membuktikan pembaharuan yang dilakukan parti seiring dengan kehendak rakyat.

Katanya, kepercayaan yang diberikan kepada golongan muda juga merupakan suatu pembaharuan apatah lagi mereka yang dipilih ini tidak mempunyai latar belakang keluarga politik.

“Kalau dahulu tidak mungkin seorang anak kampung yang tiada latar belakang politik yang kua..keluarga termasuk ayah saya juga bukanlah wakil rakyat atau mempunyai kepentingan dalam politik tetapi saya dipilih atas dasar kepercayaan diberi parti.

“Saya adalah bukti menjadi calon pada umur 33 tahun, dalam senarai Pemuda Umno yang dipilih menjadi calon saya adalah paling muda sekali,” katanya.

Beliau berkata, PRN Melaka ini membuktikan bahawa Umno telah berubah dan diberikan nafas serta wajah yang baharu mengikut kehendak rakyat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here