Penganjur lawatan PM ke Melaka dikompaun RM20,000

0
1

KETUA Pusat Daerah Mengundi (PDM) Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan dikenakan kompaun RM20,000 susulan melanggar prosedur operasi standard (SOP) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Kompaun itu dikenakan susulan penganjuran program lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak di Selandar, Alor Gajah, hari ini.

Perkara itu disahkan pegawai kesihatan daripada Pejabat Kesihatan Daerah Jasin yang mengeluarkan kompaun berkenaan di Medan Selera Selandar.

Pegawai yang enggan namanya disiarkan itu memaklumkan kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar SOP pencegahan Covid-19 pada PRN Melaka seperti yang diumumkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sebelum ini.

Ia sekali gus menunjukkan Kementerian Kesihatan (KKM) tidak memilih bulu dalam mengambil tindakan terhadap mana-mana individu dan parti politik yang melanggar SOP sepanjang PRN Melaka berlangsung.

“Kompaun berjumlah RM20,000 dikeluarkan kepada penganjur. Kompaun diberikan kepada Ketua PDM BN Asahan.

“Ia dikeluarkan atas kesalahan melanggar SOP, iaitu tiada penjarakan fizikal,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian, hari ini.

Sementara itu, usaha mendapatkan kenyataan daripada Ketua PDM berkenaan gagal apabila beliau memilih untuk mengunci mulut.

“Tak apalah, nanti saya kena lagi,” katanya ringkas, sebelum meninggalkan medan selera itu.

Terdahulu, Najib tiba di medan selera itu sekitar jam 11.20 pagi untuk menjamu selera, disusuli ketibaan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO, kira-kira jam 12 tengah hari.

Hadir sama, calon BN di DUN Asahan, Fairul Nizam Roslan dan calon BN di DUN Machap Jaya, Ngwe Hee Sem.

Perdana Menteri mengadakan lawatan di beberapa lokasi sekitar Melaka, hari ini bermula dengan sarapan di Kota Melaka, kemudian ke Sungai Udang, Masjid Tanah, Selandar dan Rim di Jasin, sebelum pulang ke Kuala Lumpur. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here