Syaf Ziyad
DAHULU rumah yang mereka diami dijanjikan berkonsepkan sewa beli, namun tiba-tiba bertukar polisi sebaik sahaja berlaku pertukaran pentadbiran kerajaan.
Itu dilema dihadapi kira-kira 2,000 penduduk di 500 unit kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tehel, Bemban, Melaka yang kini nasib perjanjian rumah ibarat ‘gantung tak bertali’.

S Krishnasamy, 67, berkata pada awalnya penduduk dijanjikan kadar sewa RM250 sebulan berkonsepkan sewa dan beli pada 2017 sebelum tiba-tiba polisi bertukar menjadi sewa sahaja sejak tahun lalu.
“Kalau tukar kerajaan sekali pun kenapa rakyat harus menjadi mangsa? Sekejap Lembaga Perumahan Melaka (LPM) kata konsep sewa beli, lepas tu kata cuma boleh sewa tak boleh beli.
“Habis tu apa nasib kami? Kalau tak panjang umur, anak cucu nak letak mana,” katanya ketika ditemui media di PPR berkenaan.

Surirumah, Enon Abu, 60, pula mempersoalkan punca pertukaran konsep yang telah dijanjikan sebelum ini selain daripada pertukaran kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN) selepas itu.
“Adakah ianya sebab lain, adakah masalah rumah, tanah yang berbeza nama pemilik atau sebaliknya? LPM perlu jelaskan kepada kami. Itu yang nak tahu.
“Apa guna bayar RM250 sebulan katakan sampai 20 ke 30 tahun lepas tu rumah milik siapa?” katanya.

Sementara itu, ibu tiga anak Chong Siew Yeng, 58, turut berharap kerajaan baharu yang akan memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November ini akan membela nasib mereka.
“Saya bimbang memikirkan nasib anak cucu sekiranya terpaksa terus menyewa sehingga ke akhir hayat,” katanya.
Dalam pada itu, calon bebas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Datuk Ng Choon Koon berjanji untuk segera mencari jalan penyelesaian terhadap 500 keluarga di flat kos rendah itu.
“Saya difahamkan, konsep asal diperkenalkan LPM adalah sebahagian sewa itu akan bertukar menjadi bayaran ‘muka’ atau deposit selepas tempoh lima tahun membayar sewa.
“Tapi tiba-tiba penduduk di beritahu mereka cuma boleh sewa dan sebabnya masih tidak jelas dan itu yang akan saya perjuangkan selepas mendapat mandat rakyat nanti,” katanya. – Malaysiapost

