PENYANYI dan komposer terkenal, Altimet menolak untuk menerbitkan lagu untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal berlangsung pada 20 November ini.
Menurut pemilik nama sebenar Syed Ahmad bin Syed Abdul Rahman Alhadad, 42, dia tidak mahu terlibat dengan PRN Melaka kerana merasakan pembubaran kerajaan masih tidak sesuai ketika kes Covid-19 masih tinggi.
“Saya tolak pelawaan untuk menulis lagu PRN Melaka ini. Kes virus Covid-19 masih tinggi. Sekarang ini adalah masa yang salah untuk bubarkan mana-mana kerajaan negeri untuk buat PRN.
“Saya tak nak terlibat,”katanya dalam satu ciapan di Twitter.
Entri itu berhubung kait dengan pelawaan untuk menghasilkan lagu bagi mempromosi sebarang pihak yang akan bertanding sempena penganjuran PRN berkenaan.
Ia kerana namanya disebut pengguna laman Twitter dalam sebuah video lain yang memaparkan sebuah video nyanyian penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman mempromosikan lagu berjudul ‘Ini Rumah Kita’.
Difahamkan, video nyanyian Yasin itu dihasilkan untuk parti Pakatan Harapan (PH).
“Hey Yasin ke ini yang nyanyi! Lama tak mendengar pasal dia. Bila @altimet nak buat lagu untuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau Pakatan Harapan (PH) ini?” ciapan Ehsan Kimie di Twitter.
Rata-rata peminat menyokong kenyataan pelantun lagu Bunga itu yang menganggap dia merupakan seorang penyanyi rap yang mempunyai prinsip. – Malaysiapost

