PRESIDEN PAS, Abdul Hadi Awang dikurniakan Darjah Kebesaran Persekutuan Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Istana Negara di sini, hari ini.
Perkara itu dikongsikan oleh Setiausaha Majlis Syura Ulama (MSU), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dalam satu hantaran di Facebooknya.
Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus, mengucapkan tahniah dan menyifatkan kurniaan itu adalah penghargaan besar terhadap pemimpin tertinggi PAS serta parti itu sendiri.
“Jutaan tahniah buat Murabbi Ummah, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Presiden PAS yang dikurniakan darjah kebesaran persekutuan PSM yang membawa gelaran Tan Sri.
“Penghargaan besar buat Tuan Guru dan PAS atas jasa yang disumbangkan kepada umat dan negara,” katanya.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan ke Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2021 bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong.
Bersempena Hari Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong kali ini, seramai 1,207 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2021 dan daripada jumlah itu, 44 individu menerima darjah kebesaran hari ini. – Malaysiapost

