Nurul Huda Abhar
PENAMPILAN Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berucap menggunakan Bahasa Melayu di pentas persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) di Glasgow, Scotland harus diberi pujian tinggi.
Menurut pakar bahasa Melayu, Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim, keberanian Menteri Alam Sekitar dan Air itu menggunakan bahasa kebangsaan sepenuhnya semasa berucap telah mengangkat Bahasa Melayu di persada antarabangsa.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada beliau kerana menggunakan bahasa kebangsaan di khalayak antarabangsa.
“Dengan demikian ia menunjukkan bahasa kebangsaan kita di persada antarabangsa seperti yang dilakukan beberapa pemimpin lain dari Indonesia, Arab, Jepun dan China. Mereka semua menonjolkan bahasa kebangsaan masing-masing,” katanya kepada Malaysiapost hari ini.
Nik Safiah berkata, beliau secara peribadi amat gembira dengan kesungguhan Tuan Ibrahim memartabatkan bahasa kebangsaan dan membawanya dalam ucapan bersama-sama dengan pemimpin luar negara yang lain.
“Saya harap pemimpin lain termasuk menteri dan pegawai tidak segan untuk menggunakan bahasa sendiri di khalayak antarabangsa,” katanya lagi.
Kelmarin, Tuan Ibrahim mencuri perhatian selepas tampil berani menggunakan bahasa kebangsaan pada persidangan antarabangsa di Glasgow, Scotland.
Beliau mengetuai delegasi Malaysia untuk menghadiri sesi rundingan Segmen Peringkat Tinggi di UNFCCC COP-26 yang sedang berlangsung bermula 31 Oktober hingga 12 November ini.
Malaysia dijangka menandatangani Deklarasi Pemimpin mengenai Hutan dan Guna Tanah dan Ikrar Metana Global bagi menunjukkan komitmen dan usaha progresif negara untuk melaksanakan tindakan perubahan iklim yang akan menyumbang kepada matlamat global. – Malaysiapost

