Peja bohong, Amanah-DAP tidak bergaduh – Aziz Bari

0
2

Najamuddin Mohd Nor

KETUA Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Abdul Aziz Bari menafikan DAP dan Amanah tidak sehaluan, sering bergaduh ketika Pakatan Harapan (PH) menerajui kerajaan negeri itu. 

Malah, Abdul Aziz juga menyifatkan kenyataan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu atau mesra disapa Peja berhubung Amanah dan DAP sering tidak sebulu ketika era pemerintahannya adalah satu perbohongan dan fitnah. 

“Amanah dan DAP tak gaduh, Peja bohong. Semua orang tahu Peja pandai putar belit. Sekarang dia kata Amanah dan DAP asyik bergaduh sedangkan Peja sendiri yang jadi dalang,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini. 

Mengulas mengenainya, Abdul Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tebing Tinggi menjelaskan, sebenarnya Ahmad Faizal yang menjadi dalang menyebabkan suasana pentadbiran kerajaan PH Perak yang dipimpinnya itu tidak harmoni. 

Katanya, Ahmad Faizal juga bertanggungjawab mengubah portfolio Exco tanpa terlebih dahulu berbincang dengan parti kompenen PH. 

“Saya nak dedahkan yang Peja ubah pembahagian portfolio tanpa berbincang dengan PH negeri. Sedangkan pembahagian portfolio itu dipersetujui oleh PH negeri. 

“Salah satu portfolio saya tiba-tiba hilang dan beberapa bulan kemudian berada di tangan Exco Amanah, saya tak perlu dedahkan namanya. 

“Itu cukup untuk membuktikan kenyataan Peja baru-baru ini yang kononnya sibuk mendamaikan konflik antara Amanah dan DAP di Perak dahulu,” katanya. 

Abdul Aziz menambah, Ahmad Faizal telah menggunakan seorang Exco dari Amanah untuk mengganggu tugasnya susulan tercetusnya khabar angin kononnya beliau cuba menjatuhkan Menteri Besar Perak pada ketika itu. 

“Ada sosok Amanah dalam Exco. Tapi saya yakin sosok itu tidak mewakili Amanah. Dan sosok itu sebenarnya ada kepentingan sendiri. 

“Saya telah maklumkan perkara itu kepada pimpinan pusat Amanah. Sosok itu cuba menyelamatkan Peja apabila Umno hendak bawa usul tidak percaya. 

“Dan selepas kononnya saya dikatakan cuba menjatuhkan Peja sebagai Menteri Besar pada Disember 2018 saya minta satu sidang akhbar bersama untuk menjelaskan keadaan. 

“Tapi Peja tak respon langsung hingga hari ini,” katanya. 

Kelmarin, Peja yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mendakwa beliau terpaksa ‘menguruskan’ pertengkaran setiap hari ketika  memimpin kerajaan PH Perak sebagai Menteri Besar.

Dalam satu ucapan sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Peja mendakwa DAP dan Amanah sentiasa berjuang untuk kepentingan mereka sendiri.

Faizal juga mendakwa kedua-dua pihak bekerja di belakang satu sama lain dan menggunakan antara satu sama lain untuk kepentingan peribadi mereka.

“Ketika saya dijadikan Menteri Besar Perak, kerajaan Pakatan Harapan dengan DAP dan PAN (Amanah) hari-hari kerja saya bergaduh atau menguruskan pergaduhan dalam mesyuarat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here