DATUK Seri Najib Razak hari ini mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin masih cuba memesongkan sejarah dan menjaja cerita dongeng kononnya dipecat dari Umno dan sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana mempersoalkan 1MDB.
Menyifatkan dakwaan Muhyiddin itu sebagai mengarut, Najib menjelaskan Presiden Bersatu itu dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Julai 2015 kerana berkomplot dengan Tun Dr Mahathir Mohamad sejak 2014 untuk menjatuhkannya.
Najib berkata perkara itu diakui sendiri Datuk Seri Mukhriz Mahathir di mahkamah bahawa Dr Mahathir dan Muhyiddin mempunyai rancangan untuk menjatuhkannya sebagai Perdana Menteri.
Ahli Parlimen Pekan itu turut berkongsi pautan berita kenyataan Mukhriz tersebut di Facebooknya hari ini.
“Dia (Muhyiddin) bukan tak biasa dengan perkara khianat. Dia khianat Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) untuk jadi Timbalan Presiden Umno.
“Dia khianat saya. Dia khianat Tun Mahathir dan PH (sehingga dia bertanding atas tiket PKR) untuk jadi Perdana Menteri,” kata Najib.
Najib menambah Muhyiddin juga dipecat dari Umno dengan keputusan sebulat suara Majlis Tertinggi setahun kemudian pada Jun 2016 kerana berkempen bersama DAP, PKR dan Dr Mahathir bermula pada program “Selamatkan Malaysia” pada Mac 2016.
“Jika dia masih lupa kenapa dia dipecat dari parti, boleh tanya Hisham (Hishammuddin Hussein), Khairy (Jamaluddin) atau Annuar Musa yang turut terlibat dalam keputusan memecatnya dari Umno,” katanya lagi.
Semalam Muhyiddin dilaporkan berkata beliau adalah individu di sebalik penubuhan Bersatu dan bukannya Dr Mahathir.
Muhyiddin berkata beliau membuat keputusan membentuk Bersatu selepas dipecat dari Umno oleh Najib selepas beliau mula mempersoalkan mengenai skandal 1MDB. – Malaysiapost

