Manifesto PH ciplak idea PN, dakwa Bersatu

0
2

MANIFESTO Pakatan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka telah menciplak idea asal kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

Perkara itu didakwa oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Razali Idris yang berkata, terdapat beberapa inisiatif pernah dibuat PN, antaranya kedudukan ketua pembangkang setaraf Exco Kerajaan Negeri dan peruntukan tahunan sama rata setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) tanpa mengira parti.

“Ambil idea atas idea orang. Paling tidak, mereka ini akan memanipulasikan yang kononnya itu idea hebat mereka.

“Jangan begitu kerana rakyat Melaka tahu idea datang dari mana sebenarnya. Menerusi calon PN, idea yang segar datang dari kami. Itu yang rakyat mahu,” catatnya di Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, Razali berkata, banyak yang ditawarkan oleh PH mirip yang disediakan oleh PN.

“Umpamanya pemulihan ekonomi negara, sistem penyampaian kerajaan dan bantuan yang efisien dan efektif, peningkatan kesihatan awam yang holistik serta penawaran pekerjaan baharu, penciptaan kekayaan inovasi.

“Semua ini usaha dan idea asalnya dari kerajaan PN dulu. Sebab itu PN tidak takut dengan kekangan berkempen kerana kejayaan dulu memudahkan cara berkempen calon PN sekarang.

“Pengundi kalau nampak lambang PN, mereka pasti sudah senyum. Itu pengalaman saya bertemu dengan rakyat Melaka yang ramah mesra dan mereka dahagakan pembangunan ekonomi yang stabil,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here