Dulu PAS ekstrem, sekarang sederhana dibuat-buat untuk jadi kerajaan

0
2

SEJARAH, rekod dan prestasi membuktikan PAS bukan parti berideologi Islam yang sederhana.

Malah, Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan PAS kelihatan sederhana hari ini kerana parti itu menyedari kesederhanaan penting untuk bekerjasama dengan parti-parti lain dalam membentuk sebuah kerajaan.

“Sekarang PAS berkicau seolah-olah ia lebih ‘sederhana dari yang sederhana’. Tetapi rekod dan prestasi PAS jelas menunjukkan bahawa ia bukan parti sederhana.

“Ia mungkin kelihatan sederhana hari ini bukan kerana ideologi dan pendekatan politiknya, tetapi kerana PAS menyedari bahawa untuk terus diajak menjadi kerajaan ia terpaksa menjadi sederhana,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khaled berkata demikian sebagai respon kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mendakwa parti itu berada dalam Perikatan Nasional (PN) yang mengamalkan pendekatan sederhana dalam politik dan berkonsep ‘perikatan menentang parti-parti ekstrem’.

Mengulas lanjut, Khaled berkata, memandangkan Barisan Nasional (BN) tidak berada dalam pakatan tersebut, secara tidak langsung kenyataan Abdul Hadi itu turut bermaksud bahawa BN adalah parti yang ekstrem.

“Sudah tentu pandangan sebegini tidak benar. BN bukan parti yang ekstrem atau menyokong ekstremisme.

“Jika tidak, mana mungkin selama 61 tahun rakyat Malaysia memilih BN, bukannya PAS. Saya rasa semua orang tahu jawapannya.

“PAS tidak pernah menang besar dalam mana-mana PRU kerana kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia secara umumnya, PAS adalah parti dengan ideologi Islam yang ekstrem,” katanya.

Bekas Menteri Besar Johor itu menegaskan, selama ini rakyat Malaysia tidak yakin PAS boleh menawarkan solusi untuk Malaysia dengan komposisi kemajmukannya yang kompleks.

“Kerana itu, walau berpuluh tahun kewujudannya, dengan Islam yang dicanangkan sebagai landasannya sekalipun, majoriti orang Melayu tidak pernah menerima PAS sebagai parti yang boleh mewakili mereka.

“Sepanjang kewujudannya, BN kekal dengan pendirian mendukung kepelbagaian Malaysia. Kerana itu BN tidak pernah menyertai pelbagai perikatan lain untuk kononnya tampak sederhana,” katanya.

Khaled juga menyorot kembali sejarah PAS dalam arena politik tanah air yang pernah bekerjasama dengan semua parti.

“Lihatlah rekod PAS. Perikatan mana yang ia tidak pernah sertai untuk melunakkan persepsi radikalnya, termasuklah merangkul erat DAP sebagai sekutunya.

“Jadi apabila parti di luar pakatan yang disertai PAS dilabel sebagai parti ekstrem, maka saya teringat bidalan orang tua-tua. Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.

“Kepada PAS dan PN, BN ada kelemahannya. Namun kelemahan BN bukannya kerana ia parti yang ekstrem,” katanya.

Khaled juga menegaskan, keesktreman BN bertempat iaitu memperjuangkan nasib rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

“Sekali pun BN itu mungkin ada sisinya yang ‘ekstrem’, ekstrem BN itu bersebab dan berasas. BN ekstrem mempertahankan kemajmukan Malaysia.

“BN ekstrem menentang mereka yang khianat pada mandat rakyat dan meludah demokrasi dengan melompat sesedap rasa. BN ekstrem mengembalikan demokrasi dan memulihkan Malaysia dengan sebaiknya.

“Kepada ‘perikatan menentang parti yang ekstrem’ itu, Alhamdulillah, akhirnya anda menyedari Malaysia ini majmuk dan sederhana. Tetapi kalau di hulu airnya keruh, tidak dapat tidak, di hilirnya keruh juga,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here