DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melancarkan Agenda Nasional Malaysia Sihat atau ANMS.
Perdana Menteri berkata ia adalah pakej kesejahteraan kesihatan yang diteliti, dirancang dan seterusnya diperkenalkan Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai penggerak utama dan disertai secara langsung oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Katanya, ANMS yang diterajui dua kementerian itu dan penglibatan kementerian atau agensi kerajaan lain, merupakan persediaan dan tindakan yang diambil bagi mempersiapkan Keluarga Malaysia dalam mendepani dan mengharungi fasa endemik Covid-19.
“ANMS bertujuan membudayakan hidup sihat dan kelestarian persekitaran yang menyokong kesejahteraan kesihatan Keluarga Malaysia. Agenda ini berusaha untuk menjadikan kita sihat sejahtera sepanjang hayat.
“Bagi menjayakannya, kerajaan mengambil pendekatan Whole of Nation, iaitu ‘Keseluruhan Negara’ dengan menjalinkan kerjasama erat dengan semua pihak untuk bergerak sebagai rakan strategik.
“Kerajaan bertanggungjawab merangka hala tuju, strategi dan initiatif ANMS manakala swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) adalah penggerak kepada strategi serta usaha yang telah dirangka atau inisiatif diperkenalkan,” katanya.
Ismail Sabri berkata ANMS dilaksanakan untuk tempoh 10 tahun, iaitu mulai 2021 hingga 2030.
Katanya, pelaksanaannya dibahagi kepada dua penggal iaitu penggal pertama bermula pada tahun ini sehingga 2025, dan penggal kedua pula bermula pada tahun 2026 dan akan berakhir pada tahun 2030.
Menurut Perdana Menteri ia melibatkan empat teras utama; 10 strategi; dan 24 inisiatif. Empat Teras Utama tersebut adalah:
Pertama : Memantapkan Promosi Pembudayaan Hidup Sihat
Kedua : Memantapkan Perkhidmatan Kesejahteraan Kesihatan
Ketiga : Memperkasakan Kawalan Kesihatan Kendiri
Keempat : Memantapkan Kebersihan Persekitaran
“Saya menaruh harapan tinggi menerusi ANMS, Keluarga Malaysia akan terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, kekal dengan kehidupan norma baharu, mengambil vaksin serta mengamalkan kawalan kesihatan kendiri, seperti menjalani ujian dan kuarantin jika bergejala atau menjadi kontak rapat kepada kes positif Covid-19.
“Keluarga Malaysia perlu membudayakan hidup sihat dengan melakukan aktiviti fizikal, makan secara sihat, dan menjaga kesihatan mental untuk mengukuhkan daya ketahanan badan melawan penyakit,” katanya.
Beliau menambah, ANMS turut diberi penekanan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 terutama mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan.
“Antara strategi yang akan digunakan dalam RMK-12 berkaitan kesejahteraan kesihatan ialah mempertingkatkan literasi kesihatan dan kesedaran mengenai kesihatan dalam kalangan Keluarga Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

