‘Saya tidak pernah khianat parti’ – Hishammuddin

0
2

SAYA bukan khianat parti sebab tu saya hadir, demikian kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ringkas untuk menyuntik semangat jentera Barisan Nasional (BN) di kediaman Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang merupakan calon bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Orang boleh kata apa sahaja terhadap saya, tapi saya tak pernah keluar parti. Saya tak pernah mengkhianati parti. Sebab itu saya hadir,” katanya hari ini.

Beliau yang merupakan Menteri Kanan Pertahanan berkata, PRN Melaka akan menentukan maruah BN dan kelangsungan Umno.

“Ini bukan isu sesama kita, ini isunya survival parti kita. Survival Umno, survival BN.

“Sebab itu suka tak suka, berani tak berani kita kena pastikan calon-calon kita menang di PRN ini,” katanya.

Sejak BN kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pelbagai cerita khabar angin melanda Ahli Parlimen Sembrong itu yang termasuk dikatakan pro kepada kepimpinan Perikatan Nasional (PN) ketika era pemerintahan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Justeru, Hishammuddin menyeru jentera BN untuk bekerja keras memastikan gabungan itu dapat menawan PRN Melaka pada 20 November ini.

“Jangan sebab kita gunakan alasan Covid-19 dan SOP, jentera tidak bergerak.

“Pada hari mengundi nanti, pastikan pengundi-pengundi kita keluar dahulu, itu penting, kita mahu BN menang di Melaka,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here