
POLIS berjaya memberkas seorang lelaki di Jejambat Darul Aman yang mahu melakukan perbuatan khianat dengan membaling batu ke arah kenderaan yang melalui Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Malau, Jitra hari ini.
Lelaki berusia 34 tahun itu dipercayai suspek yang sama melakukan perbuatan khianat di lokasi tersebut pada Ahad lalu, ditahan polis kira-kira jam 1.45 tengah hari ini.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, berkata bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan anggota polis mengesan seorang lelaki menaiki motosikal jenis Honda Wave di atas jejambat tersebut seorang diri.
Katanya, suspek dilihat dalam keadaan mencurigakan di atas jejambat dari Jalan Wang Tepus menghala Bandar Darulaman.
“Pemerhatian mendapati penunggang motosikal itu telah turun dari motosikal dan mengambil sesuatu dari bakul motosikalnya.
“Anggota melihat gerak geri suspek dan mengesyaki dia cuba melakukan sekali lagi perbuatan membaling batu dari atas jejambat ke arah kenderaan di lebuh raya,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, lapor Kosmo.
Rodzi menjelaskan, polis kemudiannya bertindak menahan suspek dan pemeriksaan menemui dua ketul batu di dalam motosikalnya.
Susulan itu, suspek seterusnya dibawa ke IPD Kubang Pasu dan hasil soal siasat, lelaki terbabit mendakwa melakukan perbuatan itu kerana rasa tidak puas hati dengan pemandu lori yang sering menghimpit kenderaannya sebelum ini.
“Suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine selain memiliki tujuh rekod lampau membabitkan kes dadah dan jenayah,” katanya.
Dalam pada itu, Rodzi berkata, polis setakat ini menerima dua laporan kenderaan rosak akibat terkena batu yang disyaki dibaling suspek, manakala pihak PLUS pula menerima sebanyak tiga laporan berkaitan kes berkenaan. – Malaysiapost
