PENERIMA vaksin Sinovac kini dianggap telah divaksin sepenuhnya oleh United Kingdom (UK), kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Menerusi ciapan di Twitter, Khairy menjelaskan dengan pengiktirafan itu individu yang menerima vaksin berkenaan kini dikecualikan daripada menjalani kuarantin.
“Penerima Sinovac kini dianggap telah divaksin sepenuhnya oleh UK. Kini dikecualikan daripada kuarantin,” ciapnya ringkas di Twitter.
Semalam, UK mengiktiraf vaksin dalam Penyenaraian Penggunaan Kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO EUL) jenis Sinovac, Sinopharm Beijing dan Covaxin untuk kebenaran perjalanan masuk ke negara itu.
Keputusan itu sekali gus memberi manfaat kepada lebih ramai individu yang mendapat vaksin jenis itu termasuk pelancong dari Emiriah Arab Bersatu, Malaysia dan India ke negara berkenaan.
Sebelum ini, media melaporkan, UK mengeluarkan peraturan perjalanan yang mungkin menyebabkan perjalanan bagi penerima Sinovac ke England lebih sukar.
Di bawah peraturan baru itu, mulai 4 Oktober lalu, pelawat yang menerima vaksin AstraZeneca, Pfizer, Moderna, atau Janssen akan dikenakan peraturan perjalanan yang lebih longgar.
Sebaliknya, penerima Sinovac mesti mematuhi peraturan seperti pelawat yang tidak divaksinasi.
Ini termasuk mengambil ujian Covid-19 sebelum berlepas 3 hari sebelum bertolak ke England.
Mereka juga mesti dikuarantin selama 10 hari semasa tiba di England. – Malaysiapost
Kredit Foto: Twitter/@trussliz

