
CALON Perikatan Nasional (PN).Telok Mas, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berharap diberi peluang oleh penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut untuk mencurah khidmat bakti di tempat kelahirannya.
Justeru, Mohd Rafiq memohon pengundi di Telok Mas mempertimbangkan beliau sebagai anak tempatan untuk menjadi wakil rakyat di kawasan itu.
“Saya memohon jasa baik dan pertimbangan rakyat N23 Telok Mas agar diberi peluang untuk mencurahkan khidmat bakti kali ini di kampung halaman saya, tempat saya bersekolah dan membesar.
“Kampung saya di Ujong Pasir. Saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Ujong Pasir selama 6 tahun (Darjah 1-6), menetap dan membesar di Taman Jaya Padang Temu.
“Ayah dan ibu saya pernah berniaga kedai runcit di Ujong Pasir selama tujuh tahun dan berniaga sebagai pembekal gas memasak Petronas selama 10 tahun di Taman Jaya Padang Temu. Saya adalah anak tempatan N23 Telok Mas,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Pengerusi PN Melaka itu berkata, sekiranya dipilih dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini, beliau berjanji akan memberi perkhidmatan terbaik dalam memulihkan ekonomi dan kebajikan rakyat.
“Sekiranya saya dan PN diberi peluang oleh warga Telok Mas serta seluruh rakyat Melaka dalam PRN kali ini, InsyaAllah kerajaan PN Melaka yang bakal dibentuk nanti akan sedaya upaya memahami aspirasi rakyat seperti Kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.
“Iaitu bagi memberi perkhidmatan terbaik, prihatin rakyat dan berusaha sedaya upaya mengembali dan memulihkan semula Melaka dalam pelbagai bidang/ sektor seperti ekonomi, pelancongan, kesihatan dan pendidikan demi kesejahteraan serta kebajikan rakyat Telok Mas dan Melaka secara keseluruhannya,” katanya.
Dalam PRN kali ini, bekas Adun Paya Rumput itu berpindah kerusi untuk bertanding di DUN Telok Mas.
Mohd Rafiq akan ditentang calon Pakatan Harapan (PH) yang juga Setiausaha Amanah Melaka, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat; Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (BN) dan Muhammad Ariff Adly Mohammad (Bebas). – Malaysiapost
