KETUA Umno Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim akur dengan keputusan kepimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Shahidan berkata, sebelum ini beliau telah menyatakan pandangan agar semua parti Melayu dan Bumiputera bersatu bagi berdepan Pakatan Harapan (PH) dalam PRN tersebut.
Sehubungan itu, kata Menteri Wilayah Persekutuan itu kini masanya untuk bekerja memastikan kemenangan BN di Melaka.
“Saya bagi pandangan agar parti-parti Melayu atau Bumiputera pergi bersama hadapi PH.
“Namun Umno telah buat keputusan untuk pergi solo maka kita patuh. Buat kerja, bantu orang Melaka,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya.
Dalam hantaran berasingan, Shahidan berkata jentera BN perlu menunjukkan imej kesepaduan sepanjang kempen PRN.
Dalam PRN Melaka, BN bertanding semua 28 kerusi bagi berdepan Perikatan Nasional (PN) serta PH.
BN juga tidak menjalinkan kerjasama dengan PAS susulan parti Islam itu memilih untuk bertanding menggunakan lambang PN. – Malaysiapost

