
UMNO yakin golongan muda akan bersama Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata golongan muda kini memiliki aspirasi politik yang sofistikated, akan berfikir secara rasional dan berfakta.
Justeru, beliau yakin dengan pemikiran dan cita rasa tentang politik yang sangat tinggi, halus dan bersifat kompleks, golongan itu akan melihat kebenaran terhadap BN.
“Generasi ini dikatakan tidak suka menjadi ahli mana-mana parti, tetapi cakna tentang perihal politik. Merekalah generasi teknologi maklumat yang berupaya menganalisa hal politik dengan mudah.
“Namun senario itulah suatu kelebihan buat BN untuk PRN Melaka, Sarawak mahupun dalam PRU-15 nanti,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, orang muda tidak lagi mudah tertipu dan kecundang dengan janji serta fitnah yang ‘berdegau-degau’ pihak tertentu.
“Hanya perlu bayar balik pinjaman PTPTN selepas gaji bulanan mereka melebihi RM4,000. Pendidikan percuma IPTA, 1 juta pekerjaan baru yang berkualiti, 1 juta rumah mampu milik/mampu sewa.
“Hapuskan tol, kereta harga rendah dan bermacam-macam lagi akad palsu bulan madu di awan biru.
“Apa yang mereka dapat 22+17 bulan adalah ketidakstabilan perpaduan, ekonomi, peluang pekerjaan dan segala-galanya,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, ‘Total Lockdown’ suam-suam kuku yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini menyebabkan rakyat terpaksa hidup sengsara dalam tempoh sangat lama.
“Sehingga sebahagian golongan muda terpaksa angkat ‘bendera putih’ menagih bantuan makanan dan wang ringgit.
“Berpuluh ribu nyawa rakyat Malaysia tidak bersalah terkorban akibat wabak angkara percaturan politik “overdose”,” katanya.
Justeru, beliau yakin orang muda khususnya di Melaka masih ingat dan merindui kemakmuran kerajaan BN.
“Kerajaan BN yang pernah mengharmonikan kesejahteraan hidup mereka dari kecil hingga dewasa.
“‘Those were the good old days’ yang mereka mahu nikmati semula bersama kerajaan BN,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, Umno meyakini ramai lagi anak muda di seluruh negara yang bersetuju dengan falsafah perjuangan parti itu.
“InsyaAllah Umno tidak akan mengecewakan mereka. Orang muda sokong Umno/BN untuk mengembalikan kemakmuran,” katanya. – Malaysiapost
