PRN Melaka: ‘SPR gagal anjur pilihan raya bebas, bersih’ – Kit Siang

0
1

VETERAN DAP Lim Kit Siang mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal melaksanakan tanggungjawab untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bebas dan bersih.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, berkata ia membabitkan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketinggalan zaman dengan menghalang sebarang bentuk kempen secara fizikal.

“Melaka kini berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN). Adakah ini fasa yang melibatkan sekatan menyeluruh kepada aktiviti kempen fizikal dalam pilihan raya? Sekiranya ya, bilakah kempen fizikal akan dibenarkan semula?

“Mengapa SPR tidak mampu mencari titik perseimbangan di antara memastikan terdapatnya pilihan raya yang ‘bebas, adil, dan bersih’ dan pada masa yang sama, mengekang penularan wabak Covid-19?,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelas Kit Siang, larangan menyeluruh SPR ini memberikan kesan yang amat buruk kepada parti pembangkang yang tidak mempunyai akses kepada kemudahan radio dan televisyen.

Katanya, SPR dengan jelas telah mengabaikan tanggungjawabnya untuk memastikan PRN Melaka ini diadakan secara ‘bebas, adil, dan bersih’, sebaliknya membenarkan penyalahgunaan kuasa dan amalan korup dalam PRN ini.

“Peguam juga mengatakan sekatan KKM terhadap semua bentuk kempen fizikal di Melaka bertentangan dengan undang-undang

“Kerajaan sebaliknya patut membenarkan aktiviti di mana penjarakan boleh diadakan dengan mematuhi SOP untuk mengelakkan penularan jangkitan Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook/Lim Kit Siang

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here