Polis buru ‘samseng jalanan’ kasari penunggang motosikal

0
2
{"source":"other","uid":"3F5F2710-B87A-4FF5-86BA-45E10FB6FDE2_1636439725256","origin":"gallery","fte_sources":[],"used_premium_tools":false,"used_sources":"{"sources":[],"version":1}","premium_sources":[],"is_remix":false}

POLIS sedang mengesan seorang pemandu kereta yang bertindak kasar seperti samseng jalanan terhadap penunggang motosikal berhampiran Bandar Teknologi, Kajang, semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, pihaknya menerima satu video berdurasi 58 saat, yang memaparkan tindakan lelaki tersebut mengasari mangsa.

Katanya, kejadian itu dirakam oleh pengguna jalan raya di lokasi kejadian.

“Daripada rakaman tersebut polis percaya ia berlaku di kawasan jalan raya lampu isyarat Bandar Teknologi Kajang berdasarkan kenyataan daripada perakam video tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata, semakan polis mendapati tiada sebarang laporan polis dibuat berhubung kejadian itu oleh mana-mana pihak atau individu.

“Justeru, satu laporan polis maklumat pertama (FIR) telah dibuat untuk siasatan dijalankan bagi mengesan si pelaku dan mangsa dalam kes ini.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan ke atas mangsa dan ugutan yang mendatangkan ketakutan atau kegusaran kepada mangsa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut supaya tampil membantu pihak polis dengan menyalurkan maklumat agar si pelaku dibawa ke muka pengadilan.

“Orang ramai juga dinasihat tidak membuat sebarang spekulasi negatif mengenal kejadian tersebut dan tidak mengambil tindakan undang-undang di tangan sendiri bagi menyelesaikan sesuatu masalah.

“Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada mana-mana balai polis berdekatan atau kepada pegawai penyiasat kes iaitu Insp Mohd Ali Hamzah di talian 019-866 0324,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here