BEKAS menteri, Syed Saddiq Abdul Rahman mempertikai kemungkinan wujud ‘hangky pangky’ dalam keputusan kerajaan untuk menggunakan Toyota Vellfire 2.5L sebagai Kenderaan Rasmi Jawatan (KRJ) Menteri Kabinet bagi menggantikan Proton Perdana 2.4 Premium.
Malah, pengasas parti MUDA itu pelik susulan langkah kerajaan itu yang sanggup mengenepikan penggunaan kenderaan jenama tempatan hanya kerana ia boleh menjimatkan RM2.80 untuk sebuah Vellfire setiap bulan.
Menerusi satu klip video yang dimuatnaik di media sosial hari ini, Ahli Parlimen Muar itu membangkitkan keraguan terhadap keputusan kerajaan tersebut.
“Tahu tak apa hujah kerajaan untuk menghalalkan pembelian vellfire-vellfire baru untuk menteri-menteri? Kerana ia menjimatkan RM2.80 setiap bulan. Very good excuse (sambil bertepuk tangan).
“Memang pelik bin ajaib apabila kerajaan kata kereta Vellfire mewah ni jauh lebih murah daripada kereta Proton Perdana.
“Mesti ada udang di sebalik batu. Persoalannya siapa makan duit, siapa orang tengah, siapa yang dapat tender ni? Kita kena siasat betul-betul,” katanya.
Ahad lalu, Kementerian Kewangan menjelaskan, kerajaan memutuskan pertukaran itu setelah mengambil kira pelbagai perbincangan pertukaran KRJ di media sosial.
Katanya, pemilihan Toyota Vellfire 2.5L berikutan kos sewa bulanan model berkenaan lebih rendah iaitu RM4,851.61 berbanding Proton Perdana 2.4 Premium (RM4,854.41).
Syed Saddiq juga mendakwa, persatuan-parsatuan pengeluar kenderaan mempertikaikan kesahihan butiran mengenai pembelian Vellfire seperti diumumkan Kementerian Kewangan.
“Betul ke angka-angka kerajaan ni sampai presiden-presiden persatuan kereta ni mempertikaikan nombor-nombor yang diberikan oleh kerajaan.
“Jadi akhirnya guna Vellfire baru mewah banyak-banyak ni, pentingkan rakyat atau kroni dan kemewahan? Rakyat Malaysia bijak dan pandai menilai. Rakyat akan menghukum awak (kerajaan),” katanya. – Malaysiapost

